KOLAM AIR PANAS PORING


Kolam Air Panas Poring yang terletak di Ranau, terletak di kawasan tanah rendah kira-kira 500 meter dari aras laut.  Ranau yang terletak kira-kira 43 kilometer dari Taman Negara Kinabalu (Gunung Kinabalu) menjanjikan kelainan di kolam air panasnya.  Kaya dengan hutan dipterokarp tanah rendah, kawasan Kolam Air Panas Poring dikelilingi himpunan pokok buluh yang merimbun selain buah-buahan dan rotan.  Malah nama Poring itu sendiri berasal daripada bahasa penduduk tempatan Kadazan Dusun yang bermaksud"pokok-pokok buluh".

Tidak lengkap rasanya jika pengunjung tidak menjejakkan kaki di Kolam Air Panas Poring, yang hutannya kaya dengan pelbagai pokok-pokok liar menjadikannya sebagai habitat haiwan seperti burung, serangga dan mamalia besar seperti monyet dan orang utan.  Menurut mitos, pokok-pokok buluh di kawasan ini suatu masa dahulu mempunyai saiz yang amat besar.  Berikutan saiznya itu, ketika zaman "misangod" (perkelahian puak), kanak-kanak akan disimpan di dalam rongga buluh supaya tidak menjadi mangsa pembunuhan.  Namun pada suatu hari , seorang pemburu yang ingin mendapatkan air mencantas rumpun buluh itu dan terkejut apabila mendapati seorang budak tidak bernyawa di dalamnya.  Tiba-tiba keluarlah seekor ular besar yang kemudiannya menjilat luka budak tersebut sehingga dia hidup kembali dan seterusnya membesar menjadi seorang wira.

Kolam Air Panas Poring terbentuk secara semula jadi oleh aktiviti gunung berapi kurang aktif yang membebaskan wap panas tetapi kehilangan habanya apabila air naik ke permukaan bumi.  Air panas ini mengandungi karbon dioksida, hidrofon sulfida dan garam mineral lain yang didapati boleh merawat kebanyakan penyakit kulit.  Kolam ini mempunyai lebih 30 takungan mandi air panas jakuzi berbentuk tertutup atau terbuka, takung rendaman kaki serta dua buah kolam renang semula jadi dan buatan.  Uniknya, setiap takung mandi yang terdapat di sini turut menyediakan paip air panas dan sejuk bagi membolehkan para pengunjungnya mendapatkan kepanasan yang sesuai.