PULAU SIPADAN


Pulau Sipadan ialah sebuah pulau lautan berhampiran dengan Semporna, sebuah bandar di pantai timur Sabah.  Pulau Sipadan merupakan satu-satunya pulau samudera di Malaysia daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari dasar laut.  Ia terkenal sebagai satu tempat pilihan bagi aktiviti menyelam skuba (scuba diving) antara yang terbaik di dunia.  Mengikut keputusan undian umum yang dikeluarkan oleh organisasi tunggal bagi pengundian 7 keajaiban terbaik dunia (New 7 Wonders of Nature votes committee), Pulau Sipadan telah tersenarai antara 77 bentuk muka bumi yang ajaib dan terbaik dunia pada tahun berakhir Julai 2009.

Pulau ini pernah sama-sama dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.  Isu tersebut telah dibawa kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa.  Dengan bukti yang disiapkan Malaysia dan dengan sokongan British, Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyerahkan Pulau Sipadan kepada Malaysia bersama-sama dengan Pulau Ligitan pada 2003.  Keputusan ini berdasarkan "penguasaan berkesan" (effective occupation) yang ditunjukkan oleh British (bekas pengkoloni Malaysia sebelum ini), dan ketiadaan tuntutan yang lebih baik.  Kerajaan Indonesia mengulas rasa sangat kecewa di atas keputusan tersebut.

Alam bawah laut Sipadan menawarkan kepada para penyelam pemandangan yang penuh dengan kehidupan marin seperti Barracuda, penyu, ikan, dan sebagainya.  Warna-warna yang banyak dan bertukar ganti, birai, celah, batu rungkupan, gua besar dan cerombong yang menegak di bawah air yang dibentuk oleh pelbagai karang menanti untuk disaksikan oleh para penyelam yang ingin menikmati tempat selam yang menyeronokkan di dunia.

Pulau ini telah diwujudkan sebagai tempat perlindungan hidupan liar pada tahun 1933 dan persekitarannya yang asal telah dapat dikekalkan sehingga kini.  Disekitar Pulau Sipadan mempunyai beberapa kawasan popular untuk penyelam "Hot Spot center to scuba divers" misalnya Barracuda Point, Turtle Cavern (Gua Penyu), Coral Gardens Drop Off (terletak berhampiran jeti utama Pulau Sipadan), North Point, West Ridge, Taman-taman Tergantung (Hanging Gardens) , Lobster Lair, Staghorn Crest, South Point, Turtle Patch, Batu Karang Tengah (Mid Reef), Whitetip Avenue dan Coral Gardens.

Pulau Sipadan kini dijaga oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah yang telah menugaskan sebilangan renjer taman untuk menyelia keadaan alam semula jadi pulau yang indah ini.  Supaya dapat melindungi flora dan faunanya yang unik di dunia serta juga alam dalam air Pulau Sipadan, Kerajaan Malaysia telah memutuskan bahawa dari 2005, kemudahan bermalam tidak lagi dibenarkan di pulau itu.  Justeru, para operator selam di Pulau Sipadan diperlukan berpindah, dengan penyelaman di Sipadan kini dijalankan dari destinasi yang lain seperti Mabul dan Kapalai.

Menyelam di Pulau Sipadan berbaloi, dengan kadar untuk tiga selam umumnya berharga sekitar RM260 (harga 2009), dengan tambahan RM40 untuk kelengkapan (jika perlu).  Bagaimanapun, kadar itu mungkin berbeza-beza sedikit antara operator yang berlainan.  Kadar tersebut merangkumi perpindahan bot serta makanan bungkus tengah hari.  Justeru, pelancong tidak perlu bimbang tentang makanan kerana tidak adanya sebarang restoran di pulau ini.  Pelancong juga diperlukan memohon permit daripada Taman Sabah supaya dapat masuk ke Pulau Sipadan.  Permit itu berharga RM40, dengan hanya 120 permit dikeluarkan setiap hari dan biasanya dapat diperoleh daripada operator selam.

Satu lagi tarikan pelancong di Pulau Sipadan, selain daripada aktiviti menyelam ialah pensnorkelan.  Terdapat beberapa operator pelancongan yang membawa pensnorkelan ke pulau ini pada kadar terangkum sebanyak sekitar RM170.

Pelancong boleh sampai ke Pulau Sipadan melalui minivan atau teksi dari Tawau ke bandar pelabuhan Semporna, satu perjalanan yang mengambil masa satu hingga dua jam.  Dari situ, mereka boleh tiba di Sipadan melalui bot laju yang mengambil masa hanya sejam.