Kolam Air Panas Poring yang terletak di Ranau, terletak di kawasan tanah rendah kira-kira 500 meter dari aras laut. Ranau yang terletak kira-kira 43 kilometer dari Taman Negara Kinabalu (Gunung Kinabalu) menjanjikan kelainan di kolam air panasnya. Kaya dengan hutan dipterokarp tanah rendah, kawasan Kolam Air Panas Poring dikelilingi himpunan pokok buluh yang merimbun selain buah-buahan dan rotan. Malah nama Poring itu sendiri berasal daripada bahasa penduduk tempatan Kadazan Dusun yang bermaksud"pokok-pokok buluh".

Kolam Air Panas Poring terbentuk secara semula jadi oleh aktiviti gunung berapi kurang aktif yang membebaskan wap panas tetapi kehilangan habanya apabila air naik ke permukaan bumi. Air panas ini mengandungi karbon dioksida, hidrofon sulfida dan garam mineral lain yang didapati boleh merawat kebanyakan penyakit kulit. Kolam ini mempunyai lebih 30 takungan mandi air panas jakuzi berbentuk tertutup atau terbuka, takung rendaman kaki serta dua buah kolam renang semula jadi dan buatan. Uniknya, setiap takung mandi yang terdapat di sini turut menyediakan paip air panas dan sejuk bagi membolehkan para pengunjungnya mendapatkan kepanasan yang sesuai.