LEMBAH DANUM



Lembah Danum terletak jauh di dalam hutan hujan tropika dara di Sabah dan merupakan Hutan Dipterokarp Pamah.  Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum yang berkeluasan 43 800 hektar (438 km persegi) ini adalah Hutan Simpan Kelas 1 di bawah Kawasan Pengurusan Hutan Yayasan Sabah.  Bandar terdekat, Lahad Datu terletak kira-kira 82 km jauh (2 jam perjalanan melalui jalan pembalakan).

Mengikut risalah yang dikeluarkan Kumpulan Yayasan Sabah, Pusat Luar Lembah Danum (DVFC) menyediakan kemudahan untuk penyelidikan, pendidikan alam semula jadi dan rekreasi hutan tanah pamah yang belum terusik.  Ia dikendalikan Kumpulan Yayasan Sabah di bawah naungan Jawatankuasa Pengurusan yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Sabah dan agensi lain.

Lembah Danum adalah kawasan tadahan luas yang juga habitat kepada badak sumbu Sumatra, gajah Asia, harimau dahan, kera bangkatan, Orang Utan, ungka, kancil serta harimau bintang.  Ada sebanyak 300 spesies burung yang direkodkan di kawasan ini.

Hutan disekeliling DVFC di dominasi pokok diteroka dengan ketinggian kanopi setinggi 70 meter di kawasan tertentu.  Aktiviti di Lembah Danum pastinya tidak lengkap jika tidak mencuba berjalan di atas titi gantung sepanjang 100 meter di atas pokok yang mencecah ketinggian 40 meter di hutan itu.  Bagi yang gayat, pastinya pemandangan dari atas titi gantung mampu melupakan seketika kerisauan berada di tempat tinggi.

Perjalanan di titi gantung itu bermula pada ketinggian 35 meter merentasi Sungai Danum pada jarak 50 meter pertama dan ketinggian titi gantung itu meningkat kepada 40 meter pada laluan 50 meter kedua yang membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat Hutan Simpan Segama Malua.

Lebih menarik di pertengahan laluan, pengunjung terpaksa mendaki pokok balak yang dikatakan berusia lebih 100 tahun yang dilengkapi tangga besi setinggi lima meter, sebelum meneruskan perjalanan di titi gantung itu.  Pengunjung tidak perlu bimbang ketika melangkah di atas titi itu kerana ia menepati ciri keselamatan ditetapkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai flora dan fauna di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, termasuk spesies Badak Sumatera yang berhadapan dengan kepupusan yang menjadikan hutan berkenaan sebagai habitatnya.

Lembah Danum mempunyai sebuah ekoresort yang pertama di Sabah iaitu Borneo Rainforest Lodge (BRL).  Antara aktiviti yang ditawarkan di sini ialah menjejaki laluan trek dalam hutan, bermandi di sungai, memerhati burung dan meninjau hutan pada waktu malam.  BRL Lembah Danum menyediakan penginapan dalam rimba yang menjanjikan ketenangan kepada pengunjung, termasuk mereka yang memilih untuk meniti di atas tititan berkenaan.

Untuk ke sana, pengunjung boleh menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) atau AirAsia ke Lapangan Terbang Tawau, seterusnya menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Lembah Danum, Lahad Datu pada jarak 228 km.  Ada penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Lahad Datu menggunakan pesawat Fokker MasWing atau dari KKIA ke Lapangan Terbang Tawau.

Bagi mereka yang memilih jalan darat menggunakan pacuan empat roda dari Kota Kinabalu, perjalanan sejauh 500 km mengambil masa kira-kira 10 jam.