GUNUNG KINABALU


Gunung Kinabalu terletak di Sabah, Malaysia, dengan ketinggian 4095m merupakan lambang kebesaran penduduk yang tinggal di Sabah.  Penduduk Sabah menganggap Gunung Kinabalu dapat memberikan semangat juang dan persatuan mereka.  Gunung Kinabalu banyak menyimpan cerita dan kisah-kisah misteri.  Menurut kepercayaan masyarakat Kadazan, Gunung Kinabalu tempat bersemadinya jiwa mereka setelah meninggal dunia.

Tinggi Gunung Kinabalu dulu diduga lebih tinggi dari ketinggian sekarang iaitu 4,101m.  Tetapi kikisan yang terjadi selama jutaan tahun, menyebabkan tinggi Gunung Kinabalu hanya tinggal 4,095m kini.

Anda boleh mengikuti pakej-pakej yang disediakan oleh agensi-agensi pelancongan untuk urusan tempat tinggal dan pendakian.  Urusan pendakian seperti bayaran permit pendakian, premium, guide dan porter (jika mahu) semuanya diurus setibanya anda di Taman Kinabalu.  Tempoh pendakian biasanya ialah 3 hari 2 malam.

Keistimewaan berada di Taman Kinabalu dapat dirasai dengan pemandangan persekitaran yang indah dan aman, suhu persekitaran yang rendah; mencapai hingga serendah 14 darjah selsius.  Gunung Kinabalu mencapai suhu 0 darjah selsius, terdapat spesies flora yang tidak dijumpai di tempat lain (Rafflesia, Nepenthes Rajah), mudah untuk didaki.  Tambahan pula, penduduk disekitar yang peramah dan memberikan perkhidmatan yang baik.

Sekiranya anda bercadang untuk membuat pendakian, beberapa kelengkapan asas yang perlu dibawa oleh pendaki antaranya ialah seperti berikut :-
~   T-shirt lengan panjang / baju panas
~   Kasut bertapak getah (Sukan / Tenis / Hiking Boots)
~   Sarung tangan (sekurang-kurangnya dua pasang), topi / topeng muka
~   Stokin lebih
~   Pakaian pelindung hujan dan angin
~   Pelembap bibir (cuaca sejuk menyebabkan bibir pecah)
~   Ubat-ubatan & plaster untuk blister
~   Lampu suluh
~   Makanan yang mempunyai kandungan tenaga yang tinggi (coklat, kekacang, kismis, glukos)
~   Beberapa beg plastik untuk pelbagai guna.