PUSAT PEMULIHARAAN ORANG UTAN SEPILOK



Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok terletak di Hutan Simpan Sepilok-Kabili, 24km dari bandar Sandakan, Sabah.  Pusat ini dikhususkan untuk memelihara dan mengkaji spesies orang utan yang semakin pupus di dunia ini.

Pusat Pemuliharaan Orang Utan ini dibuka pada tahun 1964 dan ditadbir oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah, di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia.  Luas pusat ini termasuk hutan simpannya ialah 4294 hektar dan mula dibuka kepada kunjungan para pelancong pada tahun 1964.

Kini terdapat 300 ekor orang utan yang hidup secara semula jadi, diberi makan, diternak dan ditempatkan ke sini dari tempat-tempat lain.  Menurut kajian Jabatan Hidupan Liar Sabah, terdapat 13 000 orang utan di seluruh negeri Sabah.  Oleh itu, pemilihan Sepilok sebagai pusat pemuliharaan orang utan amat bertepatan sekali.

Tujuan utama pusat ini ialah membantu memulihkan orang utan yang menjadi haiwan peliharaan dan mengembalikannya kepada habitat semula jadi apabila masanya sesuai.  Pusat ini juga berfungsi menyelamat dan mengembalikan semula ke dalam hutan anak orang utan yang terpisah daripada ibunya.  Di Sabah, orang utan adalah haiwan dilindungi di bawah Ordinan Pemuliharaan Haiwan, 1963.

Pusat ini telah menarik para pelancong dan penyelidik dan memberikan mereka peluang untuk melihat orang utan secara dekat di dalam habitat semula jadinya.  Laluan berpapan akan membawa pelancong ke galeri tontonan dan pentas untuk memberi makanan.  Di sini para pelancong akan dapat menyaksikan bagaimana haiwan ini diberikan susu dan pisang sebanyak dua kali sehari pada setiap pukul 10.00 pagi dan 3.00 petang oleh renjer yang bertugas.  Semasa pemberian makanan, monyet berekor panjang juga turut datang ke kawasan itu.

Para pelawat ditegah daripada melalui laluan pejalan kaki.  Meskipun ada dikalangan orang utan yang telah biasa dengan pelawat, akan tetapi anda ditegah daripada menyentuh haiwan ini.  Haiwan ini secara semula jadinya amat pemalu dan lembut, ada sebahagiannya agak nakal lalu merampas kamera atau topi anda.  Sekiranya hal tersebut berlaku, anda perlu memaklumkan kepada pihak renjer kerana anda tidak boleh menangkap sendiri haiwan seberat 200 paun ini.

Pelbagai jenis tumbuhan dan binatang yang hanya terdapat di hutan rimba iaitu lebih kurang 217 spesies burung, 70 spesies mamalia dan sekurang-kurangnya 400 spesies pokok kayu.

Para pelancong boleh menaiki kapal terbang untuk penerbangan jangka pendek dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu ke Sandakan.  Kemudian, dengan menaiki teksi atau bas yang tersedia di Bandar Sandakan.  Pengangkutan Syarikat Bas Jalan Labuk berlepas dari depan Majlis Perbandaran Sandakan bermula dari jam 6.00 pagi ke atas.  Bas hanya akan berhenti di simpang yang menghala ke pusat itu dan perlu berjalan sejauh setengah kilometer ke dalam.

Bayaran masuk yang dikenakan ialah RM10.00 untuk seorang (dibuat di Pusat Pendaftaran)

 Masa Dibuka
Pagar Keselamatan
Setiap hari
8.00 pagi – 5.00 petang
Kaunter Tiket
Setiap hari
9.00 pagi – 11.00 pagi
2.00 ptg   -    3.30 ptg
Dewan Pameran
Setiap hari (kecuali Jumaat)
9.00 pagi  -  4.30 petang

Pagar Keselamatan :
Setiap hari bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Kaunter Sambutan dan Tiket :
Setiap hari bermula pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.00 petang hingga 3.30 petang
Dewan Pameran :
Setiap hari (kecuali Jumaat) bermula 9.00pagi hingga 4.30 petang
Pusat :
Setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan 2.00 petang hingga 4.00petang

Jumaat - 9.00 pagi hingga 11.00 pagi, 2.00 petang hingga 4.00 petang